KerjaKosong.Co » Isu Semasa » Buka masjid dan surau untuk pulihkan kesihatan mental rakyat – Mufti

Buka masjid dan surau untuk pulihkan kesihatan mental rakyat – Mufti


PUTRAJAYA – Pembukaan masjid dan surau secara berperingkat sejurus keberkesanan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilihat antara langkah terbaik bagi memulihkan semula aspek kesihatan mental dalam kalangan rakyat.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, masyarakat kini tercari-cari ruang bagi menenteramkan jiwa setelah terkesan akibat Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut beliau, sejak akhir-akhir ini, peningkatan kejadian bunuh diri di dalam negara amat membimbangkan dan perlu ditangani dengan sebaiknya.

“Aspek emosi dan kesihatan mental individu yang terjejas boleh menyebabkan kecelaruan dalam berfikir seterusnya mendorong perilaku-perilaku yang bercanggah dengan syarak,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Luqman berkata, masyarakat juga diseru agar prihatin dan saling membantu terhadap jiran tetangga sebagaimana disyariatkan Islam kepada umatnya agar bersikap tolong-menolong dalam urusan kebaikan.

“Dalam konteks kesihatan mental, bantuan yang dihulurkan boleh merangkumi pelbagai aspek.

“Ia termasuklah membantu dengan cara mendengar luahan, memahami keluh kesah-kesah mereka, menyumbang idea dan buah fikiran, memberikan kata-kata perangsang, menuturkan kata-kata yang baik, mendoakan kesejahteraan mereka dan seumpamanya,” katanya.

Sebelum itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan mendedahkan kadar purata kes bunuh diri bagi tempoh 2019 hingga Mei tahun ini adalah dua kes sehari.

Sebanyak 609 kes bunuh diri pada 2019 manakala 631 pada tahun 2020.

Bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini iaitu Januari hingga Mei pula sebanyak 468 kes bunuh diri telah direkodkan.

Sila Share Artikel Ini Dahulu!

×