Tiada rentas daerah pada 1 Syawal

Tiada rentas daerah pada 1 Syawal

PUTRAJAYA: Pergerakan rentas daerah dalam negeri-negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak dibenarkan pada 1 Syawal ini. Ini bermakna umat Islam yang meraikan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut pada 13 Mei ini hanya dibenarkan menyambutnya dalam daerah masing-masing sahaja walaupun sempadan yang memisahkan itu terletak berjiran.

Aktiviti ziarah atau kunjung-mengunjung sempena Aidilfitri pada tahun ini dibenarkan, namun begitu kerajaan menetapkan garis panduan bagi mengekang penularan virus Covid-19 yang ketika ini masih merekodkan angka yang tinggi.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata demikian ketika mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) sempena Aidilfitri dalam sidang media pada petang Selasa.

Ujarnya lagi, tempoh masa dan jumlah pengunjung adalah berbeza di kawasan yang dikuatkuasakan PKP, PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

“Bagi kawasan PKP, ziarah dibenarkan pada 1 Syawal sahaja dengan kehadiran tetamu tidak melebih 15 orang pada satu masa mengikut saiz rumah dan mematuhi penjarakan fizikal.

“Bagi kawasan PKPB dan PKPP, ziarah hari raya dibenarkan iaitu pada 1 sehingga 3 Syawal,” katanya.

Bagi kawasan PKPB, kehadiran tetamu terhad kepada 20 orang pada satu masa mengikut saiz rumah dengan penjarakan fizikal.

Bagi kawasan PKPP pula, tetamu tidak melebihi 25 orang pada satu masa mengikut saiz rumah dengan penjarakan fizikal.

“Bagi kawasan PKPD, ziarah hari raya tidak dibenarkan di mana hanya keluarga dalam rumah sahaja yang dibenarkan,” jelas beliau.

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

×