KerjaKosong.Co » Isu Semasa » PKP 7 Daerah Di Kelantan Dilaksanakan

PKP 7 Daerah Di Kelantan Dilaksanakan


Kuala Lumpur: Seluruh negeri Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kecuali Gua Musang, Jeli dan Kuala Krai bermula Jumaat ini sehingga 29 April.

Tujuh daerah terbabit adalah Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Tumpat dan Tanah Merah.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perintah itu berikutan berlaku peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19 dan sembilan kluster baharu dilaporkan.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan berlaku peningkatan kes sebanyak 30.5 peratus di negeri itu dalam tempoh 14 hari iaitu daripada 756 kes kepada 1,088 kes dan tujuh daerah berada dalam Zon Merah.

“Selain itu, terdapat juga sembilan kluster baharu dilaporkan dalam tempoh 14 hari dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju melaksanakan PKP berdasarkan penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM serta perbincangan dengan kerajaan negeri.

Tambah beliau, pelaksanaan PKP itu untuk memastikan pergerakan penduduk di lokaliti terbabit dapat dikawal bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 ke kawasan lain.

“Antara prosedur operasi standard (SOP) di kawasan PKP adalah sekatan jalan raya akan diadakan di semua sempadan daerah dan sempadan negeri.

“Semua sektor ekonomi dan perniagaan yang diluluskan oleh kementerian atau agensi yang berkaitan boleh beroperasi dalam tempoh PKP,” katanya.

Katanya, pelaksanaan PKP berkenaan juga akan mengikut SOP am yang dikemaskini pada 26 Februari lalu.

Kami harap perkongsian ini berguna untuk anda, sila ikut SOP yang disediakan oleh kerajaan agar kes covid-19 dapat dilandaikan.

Sila Share Artikel Ini Dahulu!

×