KerjaKosong.Co » Isu Semasa » Percepat PPN ke Fasa 3 & 4 bagi kelangsungan sektor bukan perlu – MEF

Percepat PPN ke Fasa 3 & 4 bagi kelangsungan sektor bukan perlu – MEF

KUALA LUMPUR – Persekutuan Majikan-​Majikan Malaysia (MEF) meminta kerajaan agar segera mempercepatkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) kepada Fasa Tiga dan Fasa Empat bagi memastikan kelangsungan perniagaan, terutamanya sektor bukan perlu seperti industri fesyen, tekstil dan pakaian.

Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman dalam kenyataan pada Selasa berkata, kawalan pergerakan berterusan yang telah “kekal berkuat kuasa sejak Mac 2020 terus menjejaskan perniagaan dan pekerjaan.”

“Selain industri fesyen, tekstil dan pakaian, banyak sektor perindustrian bukan perlu yang lain telah terjejas akibat kawalan pergerakan ini, termasuk sektor runcit, pelancongan dan hotel dan perkhidmatan.

“Kami bimbang situasi ini akan menjadi lebih buruk sekiranya sektor bukan perlu ini terpaksa ditutup semasa Fasa Satu dan Fasa Dua dalam PPN. Oleh itu, kami menggesa kerajaan untuk segera mengkaji semula nilai ambang PPN yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara untuk mempercepatkan PPN kepada Fasa Tiga dan Fasa Empat tanpa ditangguhkan,” katanya.

Menurut Persekutuan Fesyen, Tekstil dan Pakaian Malaysia (FMFTA), industri itu mengalami kerugian sebanyak RM163 juta sehari.

Syed Hussain berkata, industri tekstil dan pakaian menyumbang nilai eksport bernilai RM27 bilion pada 2019 dan RM21 bilion pada 2020, namun, 15 peratus syarikat dalam sektor ini telah menutup operasi pada tahun lepas.

Katanya, lebih 30 peratus lagi kini di ambang kejatuhan akibat kekurangan aliran tunai dan masa depan yang tidak menentu.

“Rantaian bekalan industri fesyen, tekstil dan pakaian menggajikan kira-kira 500,000 pekerja dan pandangan bahawa kesemua 500,000 pekerja ini mempunyai risiko kehilangan pekerjaan kerana kawalan pergerakan yang berpanjangan adalah sesuatu yang membimbangkan,” katanya.

Beliau berkata, lebih 30 peratus peruncit mungkin kecundang sebelum Fasa Tiga dalam PPN dan menyebabkan kira-kira 150,000 pekerja akan diberhentikan. – Bernama

Sila Share Artikel Ini Dahulu!

×