KerjaKosong.Co » Isu Semasa » Kerajaan Terengganu Beri Kelonggaran Berniaga Di Lampu Isyarat

Kerajaan Terengganu Beri Kelonggaran Berniaga Di Lampu Isyarat


 

Peniaga di Lampu Isyarat

Kerajaan Terengganu masih mengekalkan kelonggaran kepada peniaga untuk berniaga di persimpangan lampu isyarat di negeri itu.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Nurkhuzaini Abdul Rahman bagaimanapun berkata, ia tidak bermakna kerajaan negeri membiarkan aktiviti perniagaan itu dijalankan tanpa mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kerajaan negeri masih mengekalkan kelonggaran perniagaan di lampu isyarat, namun kita tidak akan berkompromi dan akan menyerahkan kepada PBT atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya terdapat sebarang aduan melibatkan faktor keselamatan semua pihak.

“Setakat ini ada juga laporan diterima PBT berkaitan isu keselamatan melibatkan beberapa penjaja dan tindakan telah diambil ke atas mereka.

“Bagaimanapun, kita masih lagi memberi sedikit kelonggaran sementara kepada mereka untuk berniaga asalkan mereka mematuhi peraturan demi keselamatan diri dan orang ramai terutama pengguna jalan raya,” katanya.

Dia juga berkata, langkah kerajaan negeri itu diambil bagi memberi ruang kepada peniaga yang terkesan dalam tempoh pandemik Covid-19 ketika ini.

“Kita harus memahami kesusahan dan masalah yang dialami rakyat. Sebab itulah kerajaan akan lihat dari semasa ke semasa berhubung perkara ini. Buat masa ini kita tiada dasar lagi sama ada untuk menyekat atau menghalang mereka berjaja di lampu isyarat.

“Sebarang perkembangan tentang hal ini kita akan maklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Peniaga di lampu isyarat biasanya akan aktif pada waktu tengah hari iaitu ketika pekerja di pejabat sedang rehat serta waktu petang ketika pulang ke rumah.

Sila Share Artikel Ini Dahulu!

×