
Majlis kahwin di Kluster Paloh Rambai, Ketereh menjadi punca kluster baharu di Kelantan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin, berkata kes indeks bagi kluster itu membabitkan seorang wanita tempatan berusia 57 tahun.
Katanya, wanita berkenaan telah dikesan hasil saringan individu bergejala pada 18 Mac lalu dan disahkan positif COVID-19 sehari selepas itu.
Kini wanita itu sudah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata, kes dalam kluster itu terdiri dalam kalangan guru, kakitangan dan murid di beberapa sekolah dan ahli keluarga rapat sahaja.
Punca penyebaran kluster ini daripada majlis perkahwinan anak wanita terbabit yang diadakan pada 13 Mac lalu.
Kita sedang mengenal pasti kontak rapat beliau yang dilakukan pegawai kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Bharu dan PKD Bachok.
Semua rakyat negeri ini diingatkan sekali lagi supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di majlis sosial dan sekiranya tidak dapat dipatuhi, tangguhkan dulu majlis kenduri yang dirancang.
Kita perlu patuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak kerajaan agar rantaian Covid-19 dapat diputuskan sepenuhnya.