
Susulan isu pemalsuan surat pergerakan negeri sebelum ini, semua individu dinasihatkan agar mendapatkan surat pergerakan baharu untuk merentas negeri.
Selain itu, ianya susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membabitkan tujuh daerah di Kelantan yang diumumkan pada Rabu.
Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, individu yang masih menggunakan surat kebenaran untuk pergerakan sebelum ini, pihaknya bimbang akan berlaku salah guna atau pemalsuan dokumen.
“Jika surat itu masih sah, kita nasihatkan agar mereka mendapatkan yang baharu kerana selain sudah lusuh, ia juga berbentuk salinan dan bukannya asal, kita khuatir akan ada yang mengambil kesempatan”
Beliau juga memaklumkan mana-mana individu yang gagal untuk mendapatkan surat kebenaran pergerakan baharu, pihak polis tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan kompaun kepada individu terbabit.
Malah, sekatan sempena PKP kali ini akan diperketatkan selaras dengan saranan pengurusan tertinggi yang hanya membenarkan kes tertentu sahaja dibenarkan membuat pergerakan rentas daerah atau negeri.
Terdahulu, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Tumpat dan Tanah Merah adalah antara kawasan yang dikenakan PKP.
Jika anda ingin merentas negeri sila mohon surat pergerakan yang baharu, semoga anda semua selamat dan patuh SOP bagi kesejahteraan bersama.