KerjaKosong.Co » Isu Semasa » Selangor desak tutup kilang tidak ‘essential’, tetapi MKN tidak endah

Selangor desak tutup kilang tidak ‘essential’, tetapi MKN tidak endah


Kerajaan Selangor pernah mendesak operasi kilang yang tidak perlu (essential) ditutup sementara waktu ketika wabak menular tetapi tiada tindakan kerajaan pusat, kata peguam.

“Harus ditekankan bahawa Dato’ Menteri Besar sudah berkali-kali meminta Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya hanya kilang-kilang yang benar-benar perlu (essential) dibenarkan beroperasi,” kata Syahredzan Johan.

“(Gesaan) ini bermakna Kerajaan Negeri sudah memohon untuk pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) yang lebih ketat bagi dalam hal membabitkan kilang, tetapi tidak diendahkan oleh MKN.”

Aktivis hak asasi itu mengulas isu sama ada kerajaan Selangor melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh menutup kilang sewenang-wenangnya bagi mengawal penularan wabak di negeri ini.

Setelah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan di 34 mukim dalam Selangor mulai 3 Julai, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) membenarkan lebih banyak kilang dibuka beberapa hari kemudian.

Susulan itu Dato’ Menteri Besar menggesa sektor ekonomi yang tidak perlu harus terus ditutup seperti arahan awal MKN bagi mengekang wabak.

“Kerajaan Negeri melihat matlamat pelaksanaan PKPD iaitu bagi memutuskan rantaian wabak serta mengurangkan beban kepada sistem kesihatan negara masih belum dicapai.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri mencadangkan agar hanya sektor ekonomi yang benar-benar perlu sahaja dibuka bagi pertimbangan MKN,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Semalam, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han mengkritik Miti kerana membenarkan sejumlah sektor ekonomi terus beroperasi di kawasan yang dikuatkuasakan PKPD.

“Kami dapati banyak surat kebenaran oleh Miti bertentangan dengan SOP PKPD yang ditetapkan MKN. Kegagalan Miti untuk berkomunikasi dengan kementerian lain mencetuskan banyak kekeliruan di lapangan,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Dalam ulasannya di Twitter hari ini, Syahredzan juga menjelaskan Kerajaan Selangor tidak boleh bertindak kerana kuasanya terbatas dalam bidang ini.

“Apa yang jelas adalah kaedah untuk menutup kilang dalam keadaan penularan wabak sekarang adalah melalui Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342), dan bukannya mana-mana kuasa PBT,” katanya.

Beliau tidak bersetuju Kerajaan Negeri bertindak “sesuka hati, melanggar kedaulatan undang-undang dan melangkaui bidang kuasa dan budi bicara, yang boleh mendedahkan kepada tindakan mahkamah.”

“Mana-mana kerajaan wajib bertindak dalam kerangka yang dibenarkan, dan menggunakan budi bicara, sekiranya ada, dan bukan (bertindak) dengan sewenang-wenangnya,” tegasnya lagi.

Sila Share Artikel Ini Dahulu!

×