Isu Semasa » Pengorbanan tukang gunting menjaga lima orang cucu yatim piatu

Pengorbanan tukang gunting menjaga lima orang cucu yatim piatu

Pengorbanan tukang gunting menjaga lima orang cucu yatim piatu

Melaka: Seorang warga emas bersyukur walaupun berdepan cabaran menjaga lima cucu yang kematian ibu bapa, amanah itu mampu digalasnya sebaiknya demi memastikan masa depan mereka terbela.

Bagi Sudin Harun ,72, yang juga bekas imam, dirinya tidak pernah menganggap ia sebagai bebanan kerana mahu cucunya yang kini berusia 9 hingga 20 tahun berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Dia tinggal di Kampung Pantai Rombang di sini mengakui tugasan berkenaan amat berat tambahan pula turut menjaga seorang anak Orang Kelainan Upaya (OKU) berusia 30 tahun.

Katanya, anaknya Omar Sudin, 38 yang juga ayah kepada lima cucunya itu meninggal dunia akibat lemas di laut ketika mencari udang geragau pada 2012 dan menantunya meninggal dunia kerana kanser payu dara ketika mengandungkan cucunya yang bongsu.

Dirinya bersyukur cucunya selamat dilahirkan pada 2018, namun menantunya itu meninggal dunia dan sejak itulah dia dan isteri, Jariah Said, 64, mengambil tanggungjawab sepenuhnya menjaga lima cucunya itu.

“Saya berusaha mendidik dengan kasih sayang dan memberi pendidikan agama dan menghantarnya ke sekolah, Alhamdulillah mereka kini mampu menguasai pelajaran dan al-Quran dengan baik.

“Apapun, saya juga bersyukur kerana yang sulung berjaya memasuki universiti namun memerlukan perbelanjaan yang besar,” katanya yang tidak dapat meneruskan kerja sebagai tukang gunting buat masa ini kerana Sekatan Pergerakan Penuh.

Dia yang juga bekas tentera dan jurulatih jasmani mengakui terkilan gagal menyelamatkan anaknya yang lemas di laut.

Mengulas kejadian itu, dia berkata, sebelum turun ke laut dirinya melihat anaknya yang juga tukang gunting rambut melanggai udang geragau.

Bagaimanapun, terkejut kerana tidak beberapa lama selepas itu diberitahu anaknya lemas dalam kejadian yang tidak diduga itu.

Dirinya redha dengan ketentuan Ilahi selain tetap berusaha menjaga kesemua cucunya dengan kudrat yang ada untuk memastikan mereka mampu berjaya dunia dan akhirat.

Sementara itu, cucunya Mohd Haslam, 15 berkata, datuk dan neneknya ibarat ayah sendiri.

Beliau berkata, kasih sayang dia dan adik beradik yang lain tidak pernah luntur kerana dibentuk dengan didikan sempurna oleh insan dikasihi itu.

Sehubungan itu, mereka juga berazam berjaya dalam pelajaran selain menjaga datuk dan nenek serta bapa saudara yang sakit untuk membalas jasa mereka selama ini.

Leave a Comment

×