KerjaKosong.Co » Isu Semasa » MB Selangor syorkan sektor ekonomi di kawasan PKPD dikekalkan tutup

MB Selangor syorkan sektor ekonomi di kawasan PKPD dikekalkan tutup


Kerajaan Selangor mencadangkan agar penutupan sektor ekonomi di kawasan dikuatkuasakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di negeri itu dikekalkan.

Menurut Menteri Besar Amirudin Shari, cadangan itu dibangkitkan ketika mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.

“Kerajaan negeri melihat matlamat pelaksanaan PKPD iaitu bagi memutuskan rantaian wabak serta mengurangkan beban kepada sistem kesihatan negara masih belum tercapai.

“Oleh itu, kerajaan negeri mencadangkan agar hanya sektor ekonomi yang benar-benar perlu sahaja dibuka bagi pertimbangan MKN,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, semalam.

Katanya lagi, kerajaan Selangor juga mencadangkan agar vaksinasi pekerja dipercepatkan dan kadar vaksinasi dijadkain antara faktor pembukaan semula sektor ekonomi.

Semalam, negeri itu mencatatkan jumlah kes baru tertinggi dengan 4,152 kes. Sebanyak 63 kes kematian dilaporkan di negeri itu semalam.

Amirudin berkata, antara faktor angka yang tinggi itu adalah kerana saringan menyeluruh yang dilakukan di kawasan PKPD, serta saringan kontak rapat kes positif di situ.

PKPD di 34 mukim

Sejumlah 34 mukim di Selangor berada di bawah PKPD bermula 3 Julai hingga 16 Julai, dengan hanya sektor ekonomi tertentu yang dibenarkan beroperasi.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata hanya kilang makanan dan keperluan asas seperti beras, roti, gula, minyak masak, tepung gandum, susu segar dan susu tepung bayi, ubat dan topeng muka dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh itu.

Bagaimanapun, bermula 7 Julai, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri memberi kebenaran kepada lebih banyak sektor untuk beroperasi.

Antara sektor tersebut adalah elektrik dan elektronik (E&E) dan rantaian bekalannya, sektor aeroangkasa, mesin dan peralatan (M&E) bagi pengeluaran produk kesihatan dan makanan serta syarikat pembuatan makanan dan minuman utama.

Kilang yang dibenarkan beroperasi perlu mengambil beberapa langkah, antaranya melakukan ujian saringan Covid-19 kepada semua pekerja dua kali seminggu.

Sila Share Artikel Ini Dahulu!

×