KerjaKosong.Co » Isu Semasa » Ebit Lew dalam keadaan baik meneruskan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza

Ebit Lew dalam keadaan baik meneruskan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza


Ebit Lew dalam keadaan baik meneruskan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza

KUALA LUMPUR: Wisma Putra mengesahkan pendakwah terkenal, Ebit Lew dan delegasinya berada dalam keadaan baik dan dipercayai masih meneruskan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaffar, melalui satu jawapan ringkas ketika dihubungi BH, hari ini.

“Untuk makluman, Ustaz Ebit Liew berada dalam keadaan baik.

“Perkara itu seperti mana yang pihak Ustaz Ebit Liew kongsikan dalam sosial media mereka, hari ini,” katanya.

Ebit Lew hari ini, memuat naik satu gambar beliau di akaun Facebook dan Instagram beliau berserta kapsyen “Doakan yer.. Alhamdulillah semua dalam keadaan baik.. Semoga menjadi asbab kebaikan – ebit lew.”

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada beliau masih berada di Mesir atau sudah memasuki Gaza untuk menghantar bekalan barangan keperluan asas serta ubat-ubatan.

Pada 25 Mei, Ebit Lew dilaporkan berlepas ke Mesir untuk menjayakan misi bantuan kemanusiaan untuk disampaikan kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat serangan Israel.

Pada hari sama, Kamarudin dalam satu kenyataan memaklumkan misi bantuan oleh Ebit Lew dijadualkan bermula 25 Mei hingga 30 Mei lalu itu mendapat kelulusan perjalanan dan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) semasa.

Katanya, urusan serta persediaan berkaitan misi itu sudah dirancang serta dibuat oleh Ebit Lew sendiri melalui kerjasama dengan rakan badan bukan kerajaan (NGO) mereka di Mesir.

Pada 27 Mei lalu, Ebit Lew melalui satu hantaran di Facebook, memaklumkan selamat tiba di Mesir dan membeli barangan keperluan asas serta ubat-ubatan yang akan dibawa menggunakan dua treler besar dan beberapa lori untuk dihantar terus ke hospital-hospital di Gaza pada hari terbabit.

Banyak pihak kemudian tertanya-tanya mengenai status keadaannya serta perkembangan misi bantuan kemanusiaan itu selepas Ebit Lew tidak mengemas kini laman sosialnya selepas tarikh itu sehinggalah beliau memuat naik gambarnya di Facebook serta Instagram, hari ini.

Terdahulu, media hari ini, melaporkan Wisma Putra sedang mendapatkan perkembangan terkini pendakwah itu dan ada pihak percaya beliau masih berada di Kaherah, Mesir.

Sila Share Artikel Ini Dahulu!

×