[VIDEO] Cara Mandi Wajib Atau Junub Yang Betul Dan Lengkap Beserta Niat

[VIDEO] Cara Mandi Wajib Atau Junub Yang Betul Dan Lengkap Beserta Niat

Cara Mandi Wajib. Islam merupakan agama yang indah dan menyeluruh. Umat Islam telah diberi petunjuk dan bimbingan menerusi al-Quran dan hadis yang merangkumi setiap aspek dalam kehidupan. Bimbingan yang betul amat penting supaya umat Islam menurut perintah Allah berdasarkan landasan syariah yang ditetapkan. Antara contoh bimbingan yang disediakan buat umat Islam adalah cara untuk bersuci daripada hadas

Menurut istilah syarak, hadas besar bererti sesuatu yang maknawi (kotoran yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar), yang berada pada seluruh badan seseorang, yang menyebabkannya tidak dapat mendirikan solat (fardu atau sunat) dan amal ibadat yang seumpamanya, selama tidak diberi kelonggaran oleh syarak. Selama mana seseorang itu tidak mengalami atau melakukan sesuatu perkara yang boleh menyebabkan hadas-hadas besar, maka selama itu badannya suci dari hadas besar

Umum mengetahui bahawa untuk keluar atau bersuci daripada hadas besar, seseorang itu diwajbkan untuk melakukan mandi dengan sempurna. Selepas itu barulah dia boleh mengerjakan ibadah yang fardhu atau sunat dan bebas untuk menunaikan perkara yang diharamkan semasa berhadas besar. Perbezaan dengan mandi sunat hanyalah pada niatnya sahaja dan dilakukan sebelum melakukan solat

Ringkasnya, mandi junub (juga dikenali sebagai mandi hadas besar) adalah perbuatan membasahi seluruh anggota badan yang perlu dilakukan oleh seseorang Muslim untuk membersihkan dirinya daripada hadas besar menggunakan air mutlak. Cara mandi junub yang sah perlu dipelajari agar mandian berniat mandi dapat dilakukan dengan sempurna dan ibadah dapat diterima oleh Allah SWT

Cara Mandi Wajib Atau Junub Yang Sah (Lelaki Dan Perempuan)

Berikut dikongsikan panduan Cara Mandi Junub Atau Wajib yang sah serta betul buat rujukan semua

Syarat Wajib Mandi Junub

  1. Bersetubuh (berjimak) samada keluar air mani ataupun tidak
  2. Keluar air mani (secara sengaja ataupun tidak)
  3. Datang haid bagi perempuan
  4. Wiladah (bersalin)
  5. Nifas (darah yang mengiringi selepas bersalin)
  6. Mati selain daripada mati syahid

Maklumat Penting

  1. Jika terdapat najis pada anggota badan maka wajiblah dibasuh najis itu terlebih dahulu
  2. Mandi junub boleh dirangkumi dengan mandi sunat sekali
  3. Kaedah mandi junub dengan mandi sunat adalah sama. Beza hanyalah pada niatnya sahaja
  4. Sesudah menyelesaikan mandi hadas besar maka tidak lagi diwajibkan mengambil wuduk apabila hendak mengerjakan solat dengan syarat tidak melakukan perkara-perkara membatalkan wuduk semasa mandi
  5. Sekiranya mandi di sungai yang mengalir atau kolam yang airnya lebih dari dua kolah / qullah (lebih kurang 270 liter), maka dibenarkan menyelam ke dalam air. Buat selaman (sebanyak 3 kali) sambil berniat dan meratakan air ke serata tubuh dengan menggosok tangan ke seluruh badan serta celah yang boleh disampaikan air kepadanya

Rukun Mandi Wajib

1. Niat Mandi Wajib Atau Mandi Junub
niat mandi wajib

Rumi: Nawaitu raf ‘al hadatsil akbari lillahi ta’ala
Maksudnya: Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Taala

2. Meratakan Air Ke Seluruh Anggota Badan

Cara atau kaedah mandi adalah seluruh anggota badan hendaklah dibasuh secara menyeluruh termasuklah bahagian-bahagian tersebut:

  1. Rambut (jika terikat hendaklah diuraikan)
  2. Semua bulu di seluruh angota badan
  3. Bahagian luar kulit telinga
  4. Kemaluan lelaki dan perempuan yang sebelah belakang yang zahir semasa membuang air besar
  5. Kemaluan perempuan yang zahir pada masa ia duduk membuang air kecil

Perkara Wajib dan Sunat

Perkara Wajib

  1. Berniat untuk mandi wajib
  2. Membasuh seluruh badan yang zahir dengan air termasuk kulit atau rambut. Air hendaklah disampaikan ke bahagian dalam rambut dan pangkalnya

Perkara Sunat

  1. Mengambil wudhuk
  2. Membasuh kedua-dua tangan di luar daripada bekas air
  3. Membasuh kemaluan dengan tangan kiri dan juga segala kekotoran yang ada pada badan
  4. Membasuh bahagian kanan dahulu kemudian kiri (Berdasarkan hadis Aisyah R.A yang maksudnya, baginda menyiram kepala hendaklah dimulai di bahagian kanan, kemudian bahagian kiri)
  5. Menyelati rambut kepala dengan air kemudian membasuh kepala tiga kali (dalam riwayat lain, Baginda membasuh kemaluannya dan kotoran yang mengenainya, kemudian Baginda berwuduk sepertimana biasa dilakukan untuk solat, kemudian Baginda memasukkan jari-jarinya ke dalam air lalu menyelati dengan pangkal-pangkal rambutnya
  6. Mengambil air dan membasuh ke semua tubuh yang berlipat seperti kedua-dua telinga lipatan perut, di dalam pusat dan ketiak
  7. Menggosok tubuh dan berturut-turut dalam membasuh anggota
  8. Membasuh sebanyak tiga kali sebagai kias kepada wuduk

Langkah-langkah Mandi Wajib (Cara Rasulullah SAW)

  1. Berniat ketika air sampai ke tubuh
  2. Membaca Bismillah
  3. Membasuh tangan sebanyak tiga kali
  4. Membasuh kemaluan dengan tangan kiri
  5. Mengambil Wudhuk
    • Wuduk boleh dilakukan seperti biasa ataupun boleh menangguhkan mencuci kaki selepas selesai mandi
  6. Membasuh kepala
    • Membasuh kepala dengan mengusap rambut secara meratakan kepala lalu siram dengan air sebanyak 3 kali
    • Bagi wanita, ikatan rambut hendaklah dilepaskan ketika mandi untuk meratakan air berdasarkan hadith sahih al-Bukhari: yang maksudnya Aisyah R.A, di mana beliau kedatangan haid ketika menunaikan haji. Lalu Baginda Rasulullah SAW berkata sedemikian: “Tinggalkanlah umrahmu, lepaskanlah ikatan rambutmu (ketika mandi) dan sisirlah rambutmu”
  7. Memulakan dengan bahagian kanan tubuh badan
    • Sewaktu menyiram kepala, perlulah dimulakan dengan bahagian kanan, kemudian bahagian kiri dan seterusnya bahagian tengah kepala
  8. Meratakan air ke seluruh anggota badan
    • Para wanita yang mandi kerana haid, sunat menggunakan sedikit kasturi atau wangian untuk membasuh dan membersihkan kesan-kesan darah haid serta bauan yang kurang menyenangkan. Ia dapat dilakukan dengan meletakkan wangi-wangian itu ke atas atas kapas dan dicalit ke dalam faraj (kemaluan)

Video Niat dan Cara Mandi Yang Ringkas

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

×