KerjaKosong.Co » Isu Semasa » 60,000 jemaah haji tiba di Mekah mulai esok

60,000 jemaah haji tiba di Mekah mulai esok

RIYADH – Arab Saudi akan sekali lagi mengadakan ibadah haji berskala kecil bermula esok melibatkan hanya penduduk yang menerima vaksinasi lengkap tanpa penyertaan jemaah dari luar negara

Riyadh berusaha mengulangi kejayaan tahun lalu yang menyaksikan tiada wabak Covid-19 tercetus sepanjang musim haji.

Kali ini, kerajaan Arab Saudi membenarkan 60,000 penduduknya menyertai ibadah haji, lebih tinggi berbanding tahun lalu tetapi jauh lebih rendah daripada musim haji sebelum pandemik. Para jemaah dijangka tiba di kota suci Mekah esok, sehari sebelum ibadah haji bermula.

Menjadi tuan rumah kepada ibadah haji adalah hak prestij kerajaan Arab Saudi yang memikul tanggunggjawab sebagai penjaga dua masjid suci umat Islam.

Bagaimanapun, tindakan menyekat jemaah haji luar negara telah menimbulkan kemarahan dan rasa kecewa umat Islam di seluruh dunia. Kebanyakan orang Islam mengambil masa bertahun-tahun untuk mengumpulkan wang bagi mengerjakan haji.

“Kerajaan Arab Saudi mahu ibadah haji tahun ini selamat sepenuhnya dengan melarang jemaah luar negara turut serta untuk kali kedua berturut-turut,” kata felow pelawat Institut Perkhidmatan Diraja Britain kepada AFP.

Haji dan umrah juga merupakan antara sumber pendapatan utama Riyadh.

Kerajaan Arab Saudi memperoleh pendapatan sekitar AS$12 bilion (RM50.3 bilion) setiap tahun daripada haji dan umrah sebelum pandemik melanda.

Pada tahun 2019, kira-kira 2.5 juta jemaah haji dari seluruh dunia mengerjakan ibadah tersebut yang diwajibkan sekali seumur hidup kepada orang Islam yang mampu.

Awal bulan ini, kementerian haji menyatakan bahawa pihaknya sedang melaksanakan ‘langkah pencegahan kesihatan tertinggi’ bagi membendung pandemik terutamanya varian baharu Covid-19.

Jemaah haji tahun ini dipilih daripada lebih 558,000 permohonan dalam talian, manakala mereka yang terpilih telah menerima vaksinasi lengkap dan berumur 18 hingga 65 tahun serta bebas daripada penyakit kronik.

Selain penjarakan fizikal yang ketat, kementerian haji berkata, pihaknya memperkenalkan ‘kad haji pintar’ untuk membolehkan akses tanpa sentuhan ke kem, hotel dan bas yang mengangkut jemaah di sekitar tempat suci.

Kad itu juga dapat membantu mengesan jemaah yang hilang, katanya.

Pihak berkuasa juga telah mengerahkan robot hitam putih untuk mengagihkan air zam-zam dalam botol di sekitar Masjidil Haram.

Jemaah haji pada tahun ini juga dilarang mencium hajarul aswad. – AFP

×