KerjaKosong.Co » Isu Semasa » ‘Tutup sementara sektor industri & ekonomi di Selangor’- Penganalisis ekonomi

‘Tutup sementara sektor industri & ekonomi di Selangor’- Penganalisis ekonomi


KUALA LUMPUR: Cadangan menutup ekonomi dan industri ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor adalah langkah wajar bagi menangani peningkatan kes jangkitan COVID-19.

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata langkah itu akan menyebabkan kerugian sekitar RM200 juta sehari, namun ia bersifat jangka pendek berbanding gangguan jangka panjang disebabkan lanjutan PKPD akibat peningkatan berterusan jangkitan pandemik.

“Cadangan kerajaan Selangor adalah tepat sekali kerana kadar jangkitan dikesan berlaku dengan cepat di tempat kerja terutama kilang yang dibenarkan beroperasi sewaktu PKPD.

“Jika tidak dilaksanakan, kluster baharu juga terus muncul di kawasan berkenaan dan adalah baik sekiranya ujian calitan diadakan dengan lebih giat di kawasan sasaran.

“Malah, sewaktu tempoh penutupan industri berlangsung semua pekerja mestilah divaksinkan sepenuhnya sebelum dibenarkan bekerja semula. Ia lebih adil kepada semua pihak,” katanya kepada BH.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan beliau sudah mengesyorkan beberapa cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Cadangan terbabit antara lain merangkumi, langkah mengekalkan penutupan sektor ekonomi dan industri yang ditetapkan sehingga tamat pelaksanaan PKPD.

Selain itu, kerajaan negeri turut mencadangkan agar vaksinasi pekerja dipercepatkan dan kadar vaksinasi ditentukan sebagai antara faktor pembukaan sektor ekonomi.

Mengulas lanjut, Aimi Zulhazmi berkata, kesan jangka pendek kepada ekonomi apabila kilang dihentikan operasinya pasti ada, namun ia adalah untuk kebaikan jangka panjang.

“Sekiranya operasi terus dibenarkan ia tetap akan terganggu dengan jangkitan antara pekerja yang tidak berkesudahan dan ini lebih merugikan. Kerugian jangka pendek dapat dikurangkan dengan keuntungan jangka panjang.

“Sekiranya penularan jangkitan antara pekerja berjaya dihentikan maka ia lebih baik kepada pengusaha, negeri dan ekonomi negara, apatah lagi Selangor menyumbangkan lebih 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia,” katanya.

Profesor Madya Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed, berkata langkah yang dicadangkan kerajaan Selangor ketika ini bertepatan dengan keadaan semasa yang amat memerlukan satu sekatan pergerakan yang mampu untuk memutuskan rantaian COVID-19.

Katanya, sekiranya peningkatan kadar jangkitan tidak dapat dikawal dan peningkatan yang signifikan yang berkemungkinan boleh mencecah lebih daripada 10,000 kes sehari dengan Selangor berkemungkinan menyumbang hampir separuh kes harian, ia bakal melumpuhkan sistem kesihatan dan ekonomi Selangor.

“Kunci kepada penyelesaian krisis kesihatan dan ekonomi adalah dengan mempercepatkan pemberian vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). Ini satu-satunya kunci kepada pemulihan krisis kesihatan dan ekonomi negara.

“Ia juga mengambil kira perkembangan terkini negara di dunia yang telah berkembang ekonomi mereka selepas pelaksanaan vaksin secara besar-besaran. Sebagai contoh, ekonomi Amerika Syarikat (AS) berkembang kepada 6.4 peratus, manakala China melonjak kepada 18.3 peratus pada suku pertama tahun ini.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, pula berkata pilihan antara kesihatan dan ekonomi adalah sesuatu yang sememangnya sangat sukar.

“Namun, dari segi hierarki kepentingan, maksudnya apabila kita membicarakan soal hidup dan mati, sudah tentu kesihatan akan menjadi pilihan paling utama.

“Seperti mana resam dalam membuat keputusan, akan ada timbal baliknya atau ‘trade-off’.

“Dalam konteks semasa, memberi keutamaan kepada aspek kesihatan sudah tentu akan memberi kepada impak negatif kepada ekonomi. Namun, ia adalah sesuatu yang perlu dilakukan demi memelihara nyawa manusia,” katanya.

×