KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang menimbang penggunaan strategi Pelan Pemulihan Negara (PPN) mengikut keadaan di setiap negeri, sekali gus meningkatkan persaingan sihat untuk berlumba-lumba melepasi setiap fasa.
Pakar Virologi Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Yahya Mat Arip, berkata kerajaan boleh meletakkan nilai ambang berlainan untuk setiap negeri, berdasarkan kes harian di negeri berkenaan dan jumlah penduduk yang sudah divaksin.
“Jika dilihat sekarang, ada negeri yang kes hariannya rendah dan kemungkinan akan berasa kurang senang dengan situasi negeri yang mempunyai kes harian tinggi, sekali gus menjadi penyumbang kepada peningkatan kes keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata, keadaan ini tidak adil untuk negeri yang mencatatkan kes harian yang rendah kerana turut sama dikekalkan dalam fasa pertama PPN.
“Sebaik-baiknya, mungkin strategi pecah dan perintah dapat dilaksanakan kerajaan dengan memecah-perintahkan negeri yang berdepan penularan pandemik ini mengikut kadar kes kepada ratio kependudukan.
“Strategi ini boleh dibuat melalui pembahagian negeri yang kadar kes berbanding nisbah kependudukan rendah sebagai kluster paling awal disifarkan jumlah kes COVID-19,” katanya.
Beliau turut berkata, usaha ini perlu seiring dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat, termasuk menutup semua pintu masuk dan keluar bagi negeri, mengenal pasti daerah dengan kes COVID-19 harian tinggi untuk dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan menyekat sepenuhnya kegiatan ekonomi sekurang-kurangnya dalam tempoh dua minggu.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Epidemiologi & Biostatistik) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, pula berkata bagi mengelakkan penularan dan menggerakkan semula ekonomi, kerajaan wajar melakukan perubahan terhadap strategi dan pendekatan sedia ada.
“Ini termasuk menetapkan semua industri atau pemegang taruh dalam sektor ekonomi di negeri yang terus mencatatkan kluster di tempat kerja segera divaksin.
“Selain itu, industri terbabit dengan penemuan kes atau kluster baharu perlu dikenakan PKPD serta-merta, dibuat saringan dan yang negatif terus divaksin.
“Hanya industri yang sudah divaksin sekurang-kurangnya 50 peratus dibenarkan beroperasi secara optimum,” katanya.
Beliau berkata, bagi negeri yang tidak mencatatkan kes atau tiada kluster tempat kerja wajar dibuka semula dengan syarat pemantauan SOP dan penjadualan vaksin segera dilaksanakan.
Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM), Prof Dr Noran Naqiah Hairi, berkata kerajaan perlu merangka kaedah dan strategi lebih berfokus bagi menangani kes COVID-19 masih tinggi.
Beliau menyarankan supaya ada strategi baharu bagi kaedah FTTIS merangkumi finding, iaitu kenal pasti, testing (ujian), tracing (kesan), isolation (kuarantin) dan support (sokongan).
“Kaedah ini boleh digunakan dengan memberi tumpuan kepada populasi atau kluster yang bermasalah,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan memaklumkan empat fasa melalui PPN dan menyasar negara akan masuk ke fasa kedua pada Julai atau Ogos ini apabila nilai ambang yang ditetapkan berjaya dicapai.
Bagaimanapun, semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan sekatan pergerakan di bawah Fasa Pertama PPN dilanjutkan susulan jangkitan harian masih melebihi 4,000 kes.
Menerusi PPN, kerajaan menetapkan sekurang-kurangnya tiga indikator perlu dicapai untuk perubahan fasa, iaitu kes jangkitan harian di bawah 4,000 selama tujuh hari berturut-turut, penggunaan katil dalam wad unit rawatan rapi pada tahap sederhana serta 10 peratus sudah melengkapkan dos vaksinasi.