KerjaKosong.Co » Isu Semasa » Jom Kaya Akhirat!

Jom Kaya Akhirat!


ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Hendaklah tuntut kampung akhirat dengan (kekayaan) yang diberikan Allah kepada engkau dan janganlah engkau lupakan bahagian (nasib) engkau dari dunia, dan berbuat baiklah (kepada manusia) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepada engkau dan janganlah engkau berbuat bencana di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak mengasihi orang-orang yang memperbuat bencana itu.” (Surah al-Qashash, ayat 77)

Jika ditanya kepada sesiapapun di dunia ini tentang kekayaan, pastinya setiap manusia akan memberi jawapan yang sama iaitu mahu memiliki harta dan menjadi kaya. Ini kerana orang yang kaya raya pastinya akan memiliki peluang untuk membuat banyak kebaikan dan kebajikan.

Walaupun demikian, orang yang kaya raya di dunia ini belum tentu mereka juga akan kaya di akhirat dan begitu juga manusia yang miskin di dunia ini bukan bererti akan muflis di akhirat. Seseorang yang kaya dunia mesti juga turut berusaha gigih beribadat dan taat kepada perintah Allah dan Rasul supaya mereka termasuk dalam golongan manusia yang kaya di ahirat.

Ustazah Muzayyah Abdullah menerusi rancangan Tarbiah di IKIMfm setiap Jumaat jam 10.15 pagi berkata, begitu juga mereka yang miskin harta benda perlu juga berusaha gigih membina ketaqwaan diri kepada allah SWT bagi memastikan mereka adalah orang yang akan hidup senang dan kaya raya di kampung ahirat kelak.

Hakikatnya kehidupan ini adalah jambatan untuk kita ke akhirat. Umat Islam hendaklah menanam pemahaman dalam fikiran masing-masing bahawa di dunia ini adalah tempat untuk kita menanam sebanyak mungkin baja amal kebaikan dan ketaatan kepada perintah Allah SWT agar kita dapat pula mengumpul sebanyak mungkin pahala Allah di akhirat nanti.

Ini kerana manusia yang paling rugi adalah orang-orang yang paling miskin di akhirat walaupun mereka mempunyai harta benda yang banyak, rumah besar, kereta mewah, sahabat yang ramai tetapi jika kekayaan hidup diguna pada jalan yang salah dan tidak beribadat kepada Allah nescaya mereka adalah golongan manusia yang menempah kehidupan yang sempit di akhirat nanti.

Perkara ini telah diingatkan Allah SWT menerusi ayat al-Quran yang bermaksud “Dan orang- rang yang zalim mengikuti kemewahan yang ada pada mereka. Dan mereka adalah orang-orang yang berdosa.” (Surah Hud, ayat 116)

Justeru, setiap umat Islam harus menrubah corak pemikiran bahawa kekayaan yang ada didunia ini jika tidak diguna pada jalan yang benar tidak akan menjamin keadaan kita di kampung akhirat nanti. Malahan bagi mereka yang tidak berharta atau kurang berada, walaupun peluang menggandakan pahala untuk akhirat tidak sebanyak orang yang kaya dan berharta, namun mereka juga sebenarnya adalah orang yang yang beruntung. Kekurangan harta dunia barangkali akan menyebabkan mereka kurang berbuat dosa kerana tidak terlibat dalam proses pengendalian harta yang mana harta kekayaan dan kenikmatan hidup di dunia ini juga adalah ujian bagi manusia. Sesiapa yang bersyukur akan mendapat pahala dan bagi mereka yang kufur akan mendapat dosa.

Menurut Ustazah Muzayanah, ada beberapa amalan yang akan membawa manusia untuk hidup senang di kampung akhirat dan seterusnya menjadi penghuni syurga yang di dalamnya dipenuhi dengan kenikmatan yang tidak terhitung mewah dan indahnya.

Antaranya adalah dengan sentiasa bersyukur dengan rahmat dan kurniaan Allah SWT. Seseorang yang mencari kekayaan untuk akhirat tidak akan pernah risau tentang hartanya didunia ini, Sementara seseorang yang sentiasa mengejar harta dunia akan selalu merasa risau, takut dan sering diancam kebimbangan akan kehilangan harta kekayaan. Perasaan bersyukur terhadap apa juga bentuk anugerah dan kurniaan Allah SWT akan mendidik hati untuk selalu berkongsi dan memberi kepada orang lain. Selain itu, orang yang bersyukur juga hati lebih tenang dan lapang menjalani kehidupan. Justeru ianya akan menjadi asbab untuk seseorang mukmin mengumpul pahala akhirat.

Firman Allah SWT yang bermaksud “Dan sesungguhnya Kampung akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya kalau mereka mengetahui”. (Surah al Ankabut, ayat 64)

Selain itu, Ustazah Muzayanah menyatakan amalan lain yang dianjurkan untuk seseorang mukmin menjadi kaya di akhirat adalah tidak pernah berhenti mencari jalan untuk membantu agama Allah. Jika tidak mampu dengan wang ringgit atau harta benda, umat Islam boleh membantu dalam bentuk yang lain seperti buah fikiran dan tenaga dengan tujuan untuk menyebarkan syiar Islam. Manakala umat Islam yang berkemampuan boleh membantu agama dengan cara bersedekah, menginfakkan harta kekayaan dan mengeluarkan zakat dengan tujuan untuk mengangkat agama Allah SWT.

Amalan lain yang dianjurkan untuk membantu seseorang mukmin agar tidak muflis di akhirat adalah sentiasa memelihara ukhwah sesama manusia, menuntut ilmu agama dunia dan akhirat supaya kita tidak terpesong dari ajaran Islam yang sebenar dan sentiasa mempertingkatkan diri mencapai ketaqwaan di sisi Allah SWT. Akhlak yang menyeru kepada perbuatan baik dan meninggalkan segala kejahatan adalah amalan yang akan membawa kita menjadi manusia yang hidup kaya raya diakhirat walaupun di dunia ini kita diuji dengan kemiskinan.

Kaya atau miskin di dunia bukan penentu siapa dan bagaimana kehidupan di kampong akhirat. Namun demikian, dunia ini adalah jambatan untuk kita menuju kepada sebuah kehidupan yang kekal abadi buat selama-lamanya. Justeru peluang yang masih Allah kurniakan kepada kita hendaklah dimanfaatkan untuk berbuat sebanyak mungkin kebaikan dan ibadah kepada Allah agar kita termasuk dalam golongan manusia yang akan hidup mewah dengan penuh kenikmatan di kampung akhirat yang kekal abadai buat selama-lamanya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “ Tidaklah dunia pada bandingan Akhirat melainkan seumpama seseorang yang memasukkan anak jarinya ke dalam laut. Maka perhatikan berapa banyak yang lekat padanya?” (Hadis Riwayat Muslim)

Sila Share Artikel Ini Dahulu!

×