Cara Memperkenalkan Diri Semasa Temuduga Kerja

Cara Memperkenalkan Diri Semasa Temuduga Kerja

“Sila perkenalkan diri anda.” 99% temuduga biasanya akan dimulakan dengan soalan ini. Ramai penemuduga memilih soalan memperkenalkan diri sebagai ice breaking sebelum bertanya soalan lain.

Kesilapan Yang Sering Berlaku Semasa Memperkenalkan Diri

Antara kesilapan graduan fresh graduate semasa menjawab soalan ini adalah mereka menjawab dengan meleret-leret. Tetapi jawapan yang diberikan itu tidak berisi dan tidak berkaitan dengan jawatan yang dipohon.

Jangan ambil masa terlalu lama memperkenalkan diri kerana penemuduga ada soalan lain yang mahu ditanya lagi. Ambil masa sekitar 3-4 minit sahaja untuk memperkenalkan diri. Dan pastikan jawapan anda itu ringkas dan padat.

Tips & Cara Memperkenalkan Diri Semasa Temuduga Kerja

Jawab dengan jujur semasa menjawab soalan. Jangan terlalu gementar. Soalan ini antara tujuannya adalah untuk membantu anda menghilangkan rasa gementar.

Apa Yang Boleh Diceritakan?

Ketika menjawab soalan memperkenalkan diri, ini adalah antara “point-point” yang anda boleh gunakan:

  • Nama
  • Umur
  • Asal
  • Status berkahwinan
  • Kelayakan akademik
  • Tahun bergraduasi
  • Minat berkaitan jawatan
  • Pengalaman kerja

Jika Tidak Pernah Bekerja

Bagi graduan fresh graduate, sekiranya anda tidak mempunyai pengalaman kerja, anda boleh ceritakan pengalaman latihan industri anda.

Atau cerita tentang pengalaman kerja “part-time” yang pernah anda buat.

Dan jika anda memang tidak pernah bekerja langsung, anda boleh cerita tentang hobi dan minat anda yang berkaitan dengan jawatan yang dipohon.

Pendek kata, ceritakan sesuatu yang menampakkan anda berusaha untuk buat sesuatu.

Contoh Jawapan Cara Memperkenalkan Diri Semasa Temuduga

Saya (nama anda) berasal dari (tempat asal/tempat tinggal).

Saya mempunyai kelulusan (kelayakan akademik anda) dari (tempat anda belajar).

Saya (pernah/sedang) bekerja (nama syarikat) selama (tempoh bekerja).



Semasa belajar, saya pernah terlibat dengan (aktiviti/kelab/persatuan).

Saya mahir menggunakan (skil yang anda miliki).

Saya pernah mengikuti bengkel/kurus (nama kursus).

Boleh cuba susun dan ubah ayat ikut kesesuaian. Sebaiknya anda susun letak perkara positif tentang diri anda di bahagian depan.

Selamat pagi tuan/puan/datuk/datin. Nama saya Muhammad Aiman berasal dari Kajang, Selangor. Berumur 21 tahun dan masih lagi bujang.

Saya mempunyai kelulusan ijazah sarjana muda dalam bidang Sains Komputer dari Universiti Kuala Lumpur. Saya baru tamatkan pelajaran pada bulan Oktober tahun lepas.

Ketika belajar saya telah membuat latihan industri di RTM Kuala Lumpur. Saya bekerja di bahagian Servis yang mana membantu selesaikan isu-isu teknikal yang timbul.

Saya sekarang ini sedang buat freelance membuat laman web. Saya ada membantu saudara dan kawan-kawan yang ingin membina laman web. Apabila ada masa lapang saya akan menulis artikel untuk blog peribadi saya.

Saya belum pernah bekerja dengan mana-mana syarikat lagi. Saya ke sini bagi memohon jawatan website designer dan saya amat berminat untuk berkhidmat dibawah syarikat tuan/puan/datuk/datin.

Jika anda pernah mewakili persatuan, kelab atau sukan di tempat belajar, anda boleh beritahu penemuduga pencapaian anda seperti wakil sekolah, wakil syarikat, wakil universiti atau sebagainya. Sesetengah syarikat berminat dengan pencapaian sukan pemohon.

Apa Yang Perlu Diberi Perhatian?

Ketika menjawab soalan, cuba untuk menjawab dengan lancar. Pastikan juga emosi anda terkawal dan jangan lupa untuk memberikan “eye contact” dengan penemuduga. Jangan lupa sentiasa memberikan senyuman kepada penemuduga dan jangan terlalu serius. Cuba jawab setiap soalan yang ditanya dengan santai.

Walaupun anda gementar pastikan anda cuba menjawab dengan yakin. Insyaallah, selepas menjawab beberapa soalan, gementar itu akan hilang.

Semoga artikel ini dapat membantu anda memperkenalkan diri semasa temuduga dengan baik.



0 Comment

No comment yet in this article. Be first to leave comment!

Leave Comment

Note: Your email adress will NOT share with order third party. Field with symbol * are required.