KerjaKosong.Co » Isu Semasa » Berikan telefon pintar kualiti rendah, elak pelajar bermain game

Berikan telefon pintar kualiti rendah, elak pelajar bermain game


Berikan telefon pintar kualiti rendah, elak pelajar bermain game

Padang Rengas: Kerajaan Perak mengakui pengedaran 20,000 telefon pintar kepada pelajar dari keluarga B40 bagi program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) adalah daripada jenis berkualiti rendah memandangkan ia hanya dikhususkan untuk pembelajaran.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, bagaimanapun perkara itu setidak-tidaknya dapat mengelakkan daripada penyalahgunaan peranti terbabit bagi tujuan seperti bermain permainan video.

“Suka untuk saya maklumkan bahawa selepas menelusuri kajian penggunaan peranti sebelum ini, maka ia disediakan hanya khusus untuk sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) termasuk melalui aplikasi pembelajaran dinamakan ‘Frog Play’.

“Iaitu aplikasi yang mengandungi pelbagai kuiz ulang kaji untuk semua mata pelajaran teras yang diajar di sekolah daripada Tahun Satu sehingga Tingkatan Enam yang dapat diakses 24 jam sehari.

“Tetapi sekiranya pelajar merungut telefon diberikan ini perlahan atau kualitinya tidak baik, saya percaya mungkin pelajar menggunakannya untuk bermain game dalam talian dan sebagainya memandangkan prestasi peranti ini sememangnya akan terjejas jika dipasang dengan aplikasi berat seperti ‘game’.

“Justeru saya sarankan agar pelajar serta ibu bapa yang menerima pakej rangsangan telefon pintar TCS ini supaya menggunakannya sebaik mungkin khusus untuk PdPR dan tuisyen dalam talian (menggunakan aplikasi FrogPlay),” katanya dalam sidang media sempena agihan peranti itu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lubuk Merbau, hari ini.

Minggu lalu, tular di media sosial video dimuatnaik seorang YouTuber mendakwa telefon pintar dibekalkan syarikat telekomunikasi yang menjadi rakan strategik bagi program TCS tidak berkualiti termasuk dari segi kamera, jangka hayat bateri, dan tidak sesuai bagi pemasangan perisian tertentu.

Dalam pada itu, Ahmad Saidi berkata, Lubuk Merbau menjadi DUN ketiga bagi sesi pengagihan telefon pintar berkenaan yang dimulakan sejak Jumaat lalu, dengan 250 unit diperuntukkan kepada setiap dari 59 Pusat Khidmat DUN di Perak termasuk DUN pembangkang.

Katanya, agihan telefon pintar bagi fasa pertama membabitkan sebanyak 15,000 unit yang dijangka selesai sebelum memasuki Julai ini, adalah melalui senarai diperoleh melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang mana baki 5,000 selebihnya akan diagih bagi fasa kedua.

“Agihan disasarkan terutamanya kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini dari keluarga tidak berkemampuan atau B40.

“Bagi agihan fasa kedua, ia berasaskan kepada kuasa budi bicara yang terletak pada kerajaan negeri, Adun, serta agensi yang terbabit namun turut melalui permohonan dari peringkat PPD ataupun perseorangan,” katanya.

Beliau berkata, terdapat sembilan lagi inisiatif kerajaan negeri yang dirangka bagi pemerkasaan program TCS termasuk program anak angkat yang berbentuk pemantauan keberhasilan dan kemenjadian prestasi akademik selain dari pemberian peranti mudah alih serta bantuan makan tengah hari sedia ada.

Sila Share Artikel Ini Dahulu!

×