KerjaKosong.Co » Isu Semasa » Atasi tekanan elak kemurungan dan stres tidak terkawal semasa pkp

Atasi tekanan elak kemurungan dan stres tidak terkawal semasa pkp


KETERBATASAN pergerakan dan aktiviti sosial, warga tua kesunyian, gangguan aktiviti harian seperti pengajaran dan pembelajaran (PdP), kehilangan pekerjaan, penutupan perniagaan serta kerja tanpa henti dalam kalangan petugas barisan hadapan boleh menimbulkan stres tidak terkawal.

Ini ditambah dengan pesakit COVID-19 atau individu kehilangan ahli keluarga dan rakan karib sehingga dihantui ketakutan serta stres memikirkan kuasa makhluk bersaiz nanometer itu.

Stres akibat perubahan persekitaran kehidupan ditambah isu kewangan atau beban hutang membelenggu kehidupan masa kini. Stres boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan jika dibiarkan berterusan serta tidak ditangani, ia boleh menyebabkan kemurungan.

Kemurungan boleh memberi impak kepada gangguan fisiologi dan psikologi, akhirnya mencetuskan kelakuan bawah sedar atau luar kawal. Kelakuan inilah mungkin yang membawa kepada gejala bunuh diri.

Jika diamati secara menyeluruh, laporan Pusat Registri Bunuh Diri Kebangsaan Malaysia (NSRM) menunjukkan gejala bunuh diri di negara ini kini membimbangkan.

Umumnya, kecenderungan membunuh diri boleh dikaitkan pelbagai faktor. Faktor sosioekonomi dan persekitaran seperti kemiskinan serta kesukaran meneruskan kelangsungan hidup ketika pandemik COVID-19 menjadi antara penyebab perlakuan bunuh diri.

Kepayahan meneruskan kehidupan akan menjadi parah apabila berlaku perceraian dan keruntuhan institusi kekeluargaan. Ini menyebabkan sesetengah individu gagal menyesuaikan diri dengan persekitaran kehidupan pandemik ini.

Tanpa sokongan keluarga, jiwa seseorang berasa amat kosong, manakala tekanan demi tekanan dirasakan tanpa disedari menyebabkan stres dan kemurungan melampau.

Hakikatnya, kemurungan ialah penyakit psikologi membabitkan tekanan perasaan serius tanpa mengira jantina dan usia. Ia membabitkan rasa kesedihan, kekecewaan, kepiluan serta hilang semangat meneruskan kehidupan.

Faktor psikologi atau psikiatri seperti kemurungan, skizofrenia, penyalahgunaan ubatan, alkohol dan gangguan personaliti turut mencetus perlakuan bunuh diri. Faktor itu membawa kepada kemurungan dan keinginan bunuh diri, lalu mendorong mereka untuk cuba menamatkan riwayat hidup.

Justeru, stres perlu dikekalkan pada tahap minimum. Ini kerana stres minimum boleh menyebabkan prestasi kerja meningkat, merangsang kreativiti dan menggalakkan ketekunan.

Meningkatkan keupayaan mental dan mempelajari strategi daya tindak terhadap stres boleh memberi jalan penyelesaian kepada usaha meminimumkannya, sekali gus mencegah gejala bunuh diri.

Antara strategi daya tindak mendepani stres adalah berfikiran positif yang perlu menjadi kemudi kehidupan. Tanpanya, individu selalu berdepan masalah hambatan mental yang menyekat pembangunan diri.

Fikiran positif bakal melahirkan aura diri lebih berkeyakinan dan berupaya melihat peluang serta ruang penambahbaikan. Kajian psikologi mengesahkan fikiran positif akan menyebabkan persekitaran juga bertukar menjadi positif.

Hakikatnya, tindakan negatif seperti bunuh diri tidak akan menyelesaikan masalah. Ia sebaliknya mencetuskan pelbagai masalah selain memberi impak besar dalam kehidupan dan sosial.

Bagi mengawal kecenderungan bunuh diri dalam masyarakat, mereka perlu diberikan pendidikan mengenai strategi daya tindak terhadap stres dan kemurungan. Isu sensitif ini boleh menjadi barah menghalang pembangunan dan kesejahteraan jika dibiarkan berlarutan.

Kesedaran dan kesediaan untuk berubah menjadi kunci ampuh menelusuri kehidupan. Mengimbau kenangan lalu, mendepani realiti masa kini dan menetapkan jangkaan masa hadapan mampu memberi jawapan kepada pemulihan emosi serta stres individu.

Syarat utama perlu disemai dalam minda adalah tidak membiarkan persekitaran mengawal kehidupan. Setiap individu perlu berupaya mengadaptasi perubahan dan bersikap positif.

Dekan UKM-Graduate School of Business, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Sila Share Artikel Ini Dahulu!

×